Wednesday, February 4, 2009

Legasi 217 tahun



White House adalah lambang kekuasaan Amerika Syarikat. Apakah keistimewaan rumah yang telah pun berusia hampir 217 tahun sejak dibuka pada tahun 1792?


TARIKH 20 Januari 2009 pasti akan mencatat kenangan paling manis buat pemilik empunya nama Barack Hussien Obama Jr. Pada tarikh itu, beliau secara rasmi akan mengatur langkah masuk ke White House sempena majlis mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44 menggantikan George W. Bush.
Sebelum ini, dunia telah pun menyaksikan sejarah tercipta apabila Obama, 47, menjadi Presiden kulit hitam pertama dalam tempoh 232 tahun sejak AS mencapai kemerdekaan dari Britain. Beliau mencipta sejarah itu setelah memenangi pilihan raya Presiden yang berlangsung pada November lalu.
Malah, pilihan raya itu juga memperlihatkan gelombang perubahan yang dimahukan seluruh rakyat AS apabila berlakunya perubahan parti pemerintah daripada Republikan kepada Demokrat.
Obama yang berketurunan Afrika-Amerika bakal menduduki White House, 'rumah' paling berpengaruh di AS bersama isteri, Michelle serta dua anak perempuan mereka, Malia, 10 dan Sasha, 7, sekali gus memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan imej AS yang dikecam teruk sepanjang berada di bawah pemerintahan Bush.
White House yang menjadi lambang kemegahan kepimpinan negara kuasa besar itu mula dibina pada 13 Oktober 1792. Rumah itu diilhamkan dan direka oleh seorang arkitek tersohor Ireland, James Hoban.
Hoban yang dilahirkan di Desart, berhampiran Callan, daerah Kilkenny pada tahun 1758, dibesarkan di sebuah estet di Cuffesgrance. Di sana, beliau mempelajari skil pertukangan kayu. Apabila dewasa, Hoban menyambung pengajian dalam bidang seni bina di Royal Dublin Society.
Berikutan Peperangan Revolusi Amerika, Hoban berhijrah ke AS dan membina empayar sebagai arkitek terkenal di Philadelphia pada tahun 1781. Sebelas tahun kemudian, Hoban menyertai pertandingan untuk mereka kediaman Presiden AS yang dikenali sebagai White House.
Pemilihan arkitek daripada pertandingan tersebut merupakan idea Pierre Charles L'Enfant untuk menubuhkan bandar persekutuan, Washington D.C.
Presiden pertama AS, George Washington melawat tapak pembinaan White House di bandar itu pada 16 Julai 1792 bagi melakukan penilaian ke atas sembilan kertas cadangan yang dihantar mereka yang bertanding. Selepas meneliti beberapa perkara, beliau bersetuju memilih penyertaan Hoban sebagai pemenang.
Bagaimanapun, atas nasihat beliau, rekaan rumah tersebut dibesarkan sebanyak 30 peratus daripada rekaan asal bagi menyesuaikannya dengan kedudukan sebagai kediaman rasmi Presiden negara.
Keseluruhan hidup Hoban dihabiskan di Washington D.C apabila beliau turut terlibat dengan beberapa projek bangunan awam dan kerajaan termasuk jalan raya dan jambatan. Hoban meninggal dunia pada 8 Disember 1831 pada usia 73 tahun.
White House merupakan kediaman rasmi dan juga pejabat utama Presiden AS. Ia terletak di 1600 Pennsylvania Avenue di Washington D.C. Rumah ini dibina antara tahun 1792 hingga 1800 menggunakan batu pasir Aquia yang dicat putih mengikut gaya seni bina Georgian di Britain.
White House telah menjadi kediaman eksekutif setiap Presiden AS sejak era John Adams selaku Presiden AS kedua yang memerintah bermula 4 Mac 1797 hingga 4 Mac 1801.
Sewaktu hari kedua Adams menduduki White House, beliau telah menulis surat kepada isterinya, Abigail yang mengandungi doa untuk rumah tersebut yang berbunyi: "Saya berdoa semoga Tuhan mengurniakan rahmat kepada rumah ini dan sesiapa sahaja yang akan mewarisinya selepas ini. Moga hanya lelaki yang jujur dan bijak sahaja yang akan menduduki dan memerintah di bawah bumbung ini."
Surat itu membuktikan bahawa Adams sentiasa berharap bakal Presiden selepasnya adalah seorang lelaki yang mampu membawa kebaikan dan menjadi pemerintah terbaik sepanjang masa.
Antara bahagian bangunan paling popular di White House ialah West Wing yang menempatkan Oval Office iaitu pejabat Presiden serta beberapa staf senior, selain mempunyai bilik untuk 50 pekerja. Di sini juga terdapat Cabinet Room di mana Presiden akan mengadakan mesyuarat penting melibatkan angota Kabinet dan kewangan, selain White House Situation Room, James S. Brady Press Briefing Room dan Roosevelt Room.
Pada tahun 2007, kerja-kerja pengubahsuaian telah dilaksanakan di Press Briefing Room dengan penambahan kabel optik fiber dan skrin LCD untuk memaparkan carta dan graf tertentu. Proses tersebut menelan belanja AS$8 juta (RM28.5 juta) dan mengambil masa 11 bulan. Bahagian ini juga digunakan sebagai lokasi penggambaran untuk siri televisyen popular, The West Wing.
Sebelum itu, pada tahun 1929, bahagian West Wing pernah musnah akibat kebakaran, tetapi ia dibina semula sewaktu pemerintahan Herbert Hoover.
Sementara itu, sejak pemulihan yang dilakukan pada era pemerintahan John F. Kennedy (20 Januari 1961 - 22 November 1963), setiap keluarga Presiden telah melakukan beberapa perubahan terhadap kediaman peribadi mereka di White House.
Namun, perubahan yang ingin dilakukan di State Room perlu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pemuliharaan White House (dahulu dikenali sebagai Jawatankuasa Seni Halus Kennedy) yang bertujuan untuk memelihara keaslian sejarah White House.
Ketika pemerintahan Richard Nixon (20 Januari 1969 - 9 Ogos 1974), Wanita Pertama, Pat Nixon memperbaharui Green Room, Blue Room dan Red Room. Atas usahanya, lebih 600 artifak telah dibawa masuk ke White House sekali gus mencatat perbelanjaan terbesar berbanding mana-mana pemerintahan.
Presiden Nixon kemudian mencipta bilik media moden di atas kolam renang lama ketika pemerintahan Franklin D. Roosevelt (4 Mac 1933 - 2 April 1945), selain menambah lorong lane individu boling di bahagian tingkat bawah tanah.
Penggunaan komputer dan mesin cetak laser pula, disediakan sewaktu pemerintahan Presiden Jimmy Carter (20 Januari 1977 - 20 Januari 1981) dan teknologi itu dikembangkan ketika era Ronald Reagan (20 Januari 1981 - 20 Januari 1989). Selain itu, dekorasi rumah turut dibuat di kawasan kuarters peribadi keluarga dan penyelenggaraan dilakukan di kawasan umum. White House kemudian diiktiraf sebagai muzium pada tahun 1988.
Pada era 1990-an, Bill dan Hillary Clinton memperbaharui beberapa buah bilik dengan bantuan penghias Arkansas, Kaki Hockersmith termasuk di Oval Office, East Room, Blue Room, State Dining Room dan Lincoln Bedroom.
Sementara itu, bakal Wanita Pertama AS, Michelle Obama mengakui bersedia untuk menjalankan tanggungjawabnya di White House sebaik mungkin, selain tidak mengabaikan statusnya sebagai ibu kepada dua orang anak.
"Walaupun bergelar Wanita Pertama, tugas utama saya masih sebagai ibu. Apa yang penting, saya akan sentiasa memberi keutamaan untuk memastikan anak-anak saya membesar dalam suasana yang positif seperti kanak-kanak lain," katanya.
Kehadiran Obama di White House sememangnya disambut baik oleh masyarakat dunia yang mengharapkan beliau mampu mengubah dasar hubungan luar AS dengan negara lain terutamanya negara-negara Islam seperti slogan pilihan raya, Perubahan (Change) yang diuar-uarkannya sebelum ini.
Konflik yang berlaku di Genting Gaza ketika ini melibatkan kekejaman tentera Zionis ke atas penduduk Palestin, sudah pasti menuntut tindakan yang sewajarnya daripada Obama.
Seorang ahli sejarah, Robert Watson memberitahu AFP bahawa ramai orang menunggu apakah perubahan yang bakal dibawa Obama menjelang saat dia melangkah masuk ke White House."Setiap empat tahun di Washington D.C, terdapat peluang untuk menarik nafas dalam-dalam dan memulakannya kembali. Justeru itu, kita lihat apa yang bakal dilakukan Obama. Adakah beliau mampu mengubah situasi tegang yang berlaku sekarang?" ujar Watson yang merupakan Pengarah Pengajian Amerika di Universiti Lynn, Florida.

No comments:

Post a Comment